Skim Rukun Tetangga diperkenalkan pada tahun 1975 sebagai satu langkah membolehkan rakyat sendiri mengawal dan menjaga keselamatan kawasan kediaman mereka. Skim ini kemudiannya diperbaharui dengan menekankan konsep kejiranan dengan falsafah bahawa kesejahteraan kawasan sejiran akan menjamin kesejahteraan negara. Pada masa kini peranan Skim Rukun Tetangga diperluaskan lagi dengan pendekatan pembangunan komuniti bagi memastikan perpaduan dan kehormanian hubungan di dalam masyarakat akan terus berkekalan dan berterusan...

Khamis, 30 September 2010

Info Sihat.. Demam Denggi

Apa itu Demam Denggi?
Demam denggi ialah sejenis penyakit bawaan nyamuk yang menjadi masalah utama kesihatan awam antarabangsa dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Jenis demam denggi yang lebih merbahaya ialah demam denggi berdarah. Ia merupakan punca utama kematian kanak-kanak di kebanyakan negara hari ini. Demam denggi dibawa oleh nyamuk Aedes kepada manusia melalui gigitannya.

Bagaimanakah penyakit ini merebak?
Demam denggi didapati berlaku di kawasan bandar dan sekitarnya di negara-negara rantau tropika.

Sesiapa sahaja yang digigit nyamuk yang membawa kuman virus denggi menghadapi risiko yang lebih tinggi mendapat denggi. Demam denggi menyerupai demam selsema dan ciri klinikalnya berbeza-beza mengikut umur pesakit.

Pemindahan penyakit:
. Virus denggi dipindahkan kepada manusia melalui gigitan nyamuk Aedes yang membawa virus denggi.
. Nyamuk berupaya menyebarkan penyakit berkenaan dalam jangka masa 8 - 12 hari selepas menghisap darah manusia (perumah).
. Nyamuk betina yang dijangkiti virus denggi boleh memindahkan virus tersebut ke generasi seterusnya melalui pemindahan transovarial (melalui ovari).
. Manusia masih merupakan perumah gandaan utama bagi virus denggi walaupun terdapat kajian menunjukkan di beberapa bahagian tertentu di dunia, monyet boleh dijangkiti dan menjadi sumber virus bagi nyamuk yang belum dijangkiti.
. Virus denggi dari perumah pertama (mangsa pertama) hanya dapat menjangkiti/dipindahkan ke perumah kedua 18 jam sebelum suhu badan meningkat dan sekurang-kurangnya 3 hari selepas timbulnya gejala penyakit.

Bagaimanakah terjadinya demam denggi?
Vektor demam denggi adalah nyamuk Aedes betina. Nyamuk yang telah dijangkiti membawa virus denggi di dalam badannya. Virus ini kemudiannya dipindahkan kepada manusia semasa proses menghisap darah. Sebaik sahaja seseorang itu digigit, virus denggi akan memasuki dan beredar di dalam aliran darahnya, maka bermulalah penyakit ini.

Apakah penyebab demam denggi?
Penyakit demam denggi berpunca dari 4 jenis virus denggi yang dipindahkan kepada manusia melalui nyamuk Aedes yang telah dijangkiti.

Pada asasnya terdapat 4 jenis virus denggi iaitu flavivirus DEN-1, DEN-2, DEN-3 dan DEN-4. Semua nyamuk Aedes berupaya bertindak sebagai vektor virus denggi sebelum memindahkannya kepada manusia. Walau bagaimanapun, vektor utama virus ini ialah nyamuk Aedes Aegypti. Vektor lain adalah seperti nyamuk Aedes Albopictus yang merupakan vektor virus denggi di kawasan bandar.

Bagaimana cara untuk mencegah denggi?
Lindungi diri anda dari gigitan nyamuk.
Untuk mengelak dari gigitan nyamuk, seseorang itu perlulah mengetahui tabiat makan nyamuk dan menggunakan bahan penghindar nyamuk pada kulit yang terdedah apabila perlu. Pakai pakaian yang menutupi kebanyakan bahagian tubuh kerana ini boleh melindungi dari gigitan nyamuk. Pasangkan jaring nyamuk dan skrin pada tingkap untuk mencegah nyamuk dari memasuki rumah.

Elakkan dari membuat lawatan ke kawasan berisiko tinggi di waktu siang.
Jalan terbaik ialah mengelak dari bertandang ke kawasan berisiko (kawasan bandar) di siang hari. Ini adalah kerana nyamuk Aedes bukanlah serangga malam. Waktu puncak ia mencari makan ialah di awal pagi dan awal senja.

Musnahkan tempat pembiakan nyamuk.
Cara lain untuk mencegah denggi ialah dengan memusnahkan tempat pembiakan nyamuk. Nyamuk Aedes membiak dalam tempat-tempat takungan air seperti tayar buruk dan bekas menyimpan air. Anda juga perlu selalu menukar air dalam pasu bunga dan bekas air minum haiwan peliharaan untuk mencegah nyamuk dari membiak.

Petikan dari http://jknns.moh.gov.my/denggi/.. maklumat lanjut berkaitan rawatan, semburan kabus & bahan pembunuh jentik-jentik sila layari laman tersebut.

Rabu, 29 September 2010

Info Sihat... Adakah Anda Masih Ingin Merokok?

Seperti 80% perokok yang lain, anda mungkin telah mencuba beberapa kali untuk berhenti merokok tetapi tidak berjaya. Apakah ianya terlalu lewat untuk anda berhenti? Jawapannya sudah tentu tidak.

Jika anda berhenti merokok pada umur 60 atau 80 sekalipun, masih banyak kesan buruk akibat merokok yang dapat dihentikan. Atau mungkin anda tergolong dalam 46% perokok dewasa yang tidak percaya merokok boleh membahayakan kesihatan atau pun tiada faedahnya jika anda berhenti sekarang, sudah terlewat. Jika anda tergolong dalam kumpulan ini, renungi fakta berikut:
. Dalam masa lapan jam selepas berhenti merokok, kadar denyutan nadi dan tekanan darah turun dan paras oksigen dalam badan anda akan naik.
. Dalam tempoh 24 jam selepas berhenti, risiko serangan jantung menurun.
. Selepas sebulan, peredaran darah bertambah baik, tenaga anda bertambah dan fungsi paru-paru anda meningkat sebanyak 30%.
. Selepas setahun, risiko anda mendapat penyakit jantung menurun sebanyak 50% jika dibanding dengan mereka yang terus merokok.
. Selepas 5 tahun, risiko anda mendapat strok mula menurun.
. Selepas 10 tahun, kemungkinan anda mendapat kanser paru-paru adalah sama dengan mereka yang tidak pernah merokok.

Setiap kali anda menyedut, anda menyerap masuk lebih dari 4,700 bahan kimia yang telah terbukti memberi kesan buruk pada setiap inci tubuh anda. Antara kesan tidak serius ialah kulit lebih cepat berkedut, gigi dan jari menjadi kuning dan lambat baik dari luka.

Antara kesan yang sangat merbahaya ialah osteoporosis, retak pinggul, katarak, kencing manis, kehilangan gigi dan emfisema.

Di Amerika, setiap tahun sejumlah 400,000 orang meninggal dunia atas sebab yang ada kena mengena dengan merokok. 50% dari kematian tersebut disebabkan penyakit kardiovaskular dan 30% lagi oleh kanser paru-paru. Merokok membahayakan jantung anda, jika anda berhenti merokok, risiko mendapat serangan jantung menurun sebanyak 50% dalam masa setahun. Merokok juga berada di tangga teratas dalam senarai penyebab kanser.

Merokok adalah ketagihan, mudah dan jelas. Jangan salahkan diri anda jika anda telah beberapa kali cuba untuk berhenti tetapi gagal. Kandungan utama tembakau ialah nikotin dan ia merupakan dadah yang paling kuat menyebabkan ketagihan.

Adakah tiada harapan lagi? Tidak. Ramai yang telah berjaya berhenti dan anda pun boleh, jika anda mahu.

Jika anda mahu berhenti, disenaraikan beberapa cara untuk membantu anda :
. Tetapkan tarikh dan patuhinya. Para pakar melaporkan bahawa mereka yang menetapkan tarikh mempunyai kemungkinan yang tinggi untuk berjaya.

. Elakkan dari mendapat tekanan. Banyak petua yang boleh diamalkan untuk mengurangkan tekanan.

. Berhenti terus. Kalau anda ikut cara ini, anda mungkin akan mengalami sindrom tarikan untuk selama seminggu hingga 10 hari tetapi anda akan melepasi halangan.

. Buang kesemuanya. Pada hari yang ditetapkan, buang semua rokok, termasuk yang tersembunyi di mana-mana. Buang pemetik api, mancis dan tempat habuk rokok.

. Bersedia untuk melawan keinginan untuk merokok. Semasa anda melalui sindrom tarikan, anda mungkin mengalami gejala berikut: masalah perut, sukar memberi tumpuan, mengantuk, susah untuk tidur dan mudah marah.

. Anda boleh berhenti secara beransur-ansur. Sebaik saja nikotin telah dinyah keluar dari tubuh anda, gejala sindrom tarikan akan hilang sedikit demi sedikit. Ada kemungkinan ianya tidak hilang kesemuanya kerana satu tidak pernah cukup. Jika anda merokok sebatang anda ingin sedozen ataupun lebih.

Petua untuk membantu anda:
. Tukar kebiasaan anda.
. Elakkan tekanan. Elakkan bekerja hingga lewat hari
. Jauhkan diri dari perokok
. Berikan kata-kata semangat kepada diri anda setiap hari
. Buat janji dan memberi ganjaran kepada diri anda
. Menyimpan duit rokok
. Curi masa – lambat-lambatkan menyalakan rokok
. Minum air secukupnya
. Kurangkan minuman yang mengandungi kafein
. Bersarapan pagi

Walaupun berhenti terus merupakan cara terbaik, namun jika anda terpaksa berhenti secara beransur-ansur, yang penting adalah untuk BERHENTI.

Anda mungkin tidak kisah dengan kesihatan atau nyawa anda, tetapi pertimbangkan kesihatan dan nyawa orang yang anda sayangi. Adakah mereka akan memaafkan anda jika mereka mendapat kesan buruk dari asap rokok yang dihembus keluar oleh anda. Renung renungkanlah.

Petikan dari http://www.kesihatan.biz/.. lain-lain info kesihatan berguna boleh didapati di laman tersebut.. Sihat Sepanjang Hayat.

Ahad, 5 September 2010

Langkah-langkah mencegah kecurian

... ingin saya kongsikan satu artikel yang menerangkan tentang dan langkah-langkah yang boleh kita ambil bagi mencegah dan menghadapi kes kecurian yang semakin meningkat sekarang ini. Semua tips-tips yang diberikan ini adalah seperti yang diberikan oleh Polis DiRaja Malaysia.

1. Jangan biarkan anak-anak tidur di ruang tamu seorang diri (mereka mungkin menggunakan anak sebagai tebusan).

2. Kunci atau sorokkan semua pisau-pisau yang terdapat di dapur sebelum tidur (kesemua kes kecurian di dapati pisau hilang dan menurut polis mereka akan mencari pisau dahulu sebelum mencuri bertujuan untuk melindungi diri mereka).

3. Sekiranya terdengar/terlihat paip air di luar rumah terbuka pada tengah malam (pukul 12 ke atas), jangan keluar rumah untuk menutup paip tersebut kerana ini adalah taktik terbaru mereka di mana mereka telah menunggu diluar pintu rumah untuk masuk.

4. Beritahu anak-anak sekiranya hendak ke tandas (jika tandas jauh) di waktu tengah malam, kejutkan ibubapa untuk bersama mereka.

5. Jangan simpan barang-barang kemas di dalam almari baju (cara lama…).

6. Bawa alarm kereta bersama semasa tidur, in case terjaga tengah malam, cuba on and offkan balik untuk menakutkan pencuri (menandakan kita sentiasa alert).

7. Tekan button merah alarm kereta anda jika anda mengesyaki pencuri sudah masuk ke dalam rumah.

8. Sekiranya terlihat orang-orang yang agak aneh dan asing di kawasan rumah anda, sila dapatkan plat no motor/kereta mereka (selalunya naik motor dan mereka ni biasanya berdua, setiap kali kita lalu depan mereka, mereka akan menundukkan kepala).

9. Pesan kepada jiran, sekiranya ada sesiapa yang datang ke rumah kita dan mengaku saudara kita bertujuan untuk mengambil barang-barang, jangan benarkan, beri nombor telefon pejabat anda kepada jiran supaya mereka boleh double check dengan kita.

10. Semasa tidur, pastikan handphone anda berada di sisi atau pastikan juga Cordless Phone anda berada di sisi anda ataupun sambungkan satu extension dalam bilik tidur anda. Ini memudahkan anda membuat panggilan kecemasan sekiranya anda terasa kehadiran pencuri di dalam rumah anda.

11. Adakan senarai nombor telefon kecemasan seperti polis, bomba , 991 atau sebagainya. Pastikan nombor-nombor ini disimpan dalam handphone anda. Kalau boleh, hafalkan nombor tersebut. Ini memudahkan anda membuat panggilan telefon.

12. Kalau berkemampuan, pasangkan alat pengesan kecurian di rumah atau automatik alarm.

13. Lampu anjung & lampu belakang rumah sepatutnya terpasang secara automatik bila malam, baik semasa ada di rumah atau pergi bercuti.

14. Jika bercuti lama, pesan jiran kutip surat-surat dalam peti surat. Peti surat yang penuh membantu pencuri menghidu ketiadaan tuan rumah.

15. Jika kawasan anda kerap berlaku kecurian, buat permohonan rasmi dari Balai Polis berdekatan supaya ada anggota polis buat rondaan yang kerap di kawasan anda.

16. Kereta Proton adalah paling mudah dicuri. Kalau kereta anda brand new, sekurang-kurangnya anda perlu lock gear & stering sebelum tidur (sebenarnya masih boleh dicuri, tetapi akan berjaya melambatkan pencuri).

17. Jika ada anak-anak perempuan, sebaik-baiknya pintu biliknya dikunci dari dalam (sebab aada pencuri yg mengambil kesempatan seksual) dan anda perlu ada kunci pendua jika berlaku kebakaran.

18. Sekurang-kurangnya simpan kayu hoki atau baseball di bawah katil anda buat mempertahankan diri dari pencuri yang ganas.

19. Jangan letak kunci bawah pasu bunga/peti surat/alang pintu/tepi tingkap bila keluar (pencuri dah lama tau taktik ni…). Lebih selamat beri pada jiran yang kita kenal rapat.

20. Jika menyewa rumah baru pastikan anda tukar padlock baru, mana tau penyewa lama menyimpan kunci pendua.

21. Kurangkan pendedahan dan pergaulan anda dengan pekerja asing.

Saya harap semua pembaca blog dapat mengambil langkah-langkah yang sewajarnya bagi menghadapi sebarang kemungkinan terjadinya kecurian... Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya, beringatlah sebelum terkena... semoga ada manfaat.