Seperti 80% perokok yang lain, anda mungkin telah mencuba beberapa kali untuk berhenti merokok tetapi tidak berjaya. Apakah ianya terlalu lewat untuk anda berhenti? Jawapannya sudah tentu tidak.
Jika anda berhenti merokok pada umur 60 atau 80 sekalipun, masih banyak kesan buruk akibat merokok yang dapat dihentikan. Atau mungkin anda tergolong dalam 46% perokok dewasa yang tidak percaya merokok boleh membahayakan kesihatan atau pun tiada faedahnya jika anda berhenti sekarang, sudah terlewat. Jika anda tergolong dalam kumpulan ini, renungi fakta berikut:
. Dalam masa lapan jam selepas berhenti merokok, kadar denyutan nadi dan tekanan darah turun dan paras oksigen dalam badan anda akan naik.
. Dalam tempoh 24 jam selepas berhenti, risiko serangan jantung menurun.
. Selepas sebulan, peredaran darah bertambah baik, tenaga anda bertambah dan fungsi paru-paru anda meningkat sebanyak 30%.
. Selepas setahun, risiko anda mendapat penyakit jantung menurun sebanyak 50% jika dibanding dengan mereka yang terus merokok.
. Selepas 5 tahun, risiko anda mendapat strok mula menurun.
. Selepas 10 tahun, kemungkinan anda mendapat kanser paru-paru adalah sama dengan mereka yang tidak pernah merokok.
Setiap kali anda menyedut, anda menyerap masuk lebih dari 4,700 bahan kimia yang telah terbukti memberi kesan buruk pada setiap inci tubuh anda. Antara kesan tidak serius ialah kulit lebih cepat berkedut, gigi dan jari menjadi kuning dan lambat baik dari luka.
Antara kesan yang sangat merbahaya ialah osteoporosis, retak pinggul, katarak, kencing manis, kehilangan gigi dan emfisema.
Di Amerika, setiap tahun sejumlah 400,000 orang meninggal dunia atas sebab yang ada kena mengena dengan merokok. 50% dari kematian tersebut disebabkan penyakit kardiovaskular dan 30% lagi oleh kanser paru-paru. Merokok membahayakan jantung anda, jika anda berhenti merokok, risiko mendapat serangan jantung menurun sebanyak 50% dalam masa setahun. Merokok juga berada di tangga teratas dalam senarai penyebab kanser.
Merokok adalah ketagihan, mudah dan jelas. Jangan salahkan diri anda jika anda telah beberapa kali cuba untuk berhenti tetapi gagal. Kandungan utama tembakau ialah nikotin dan ia merupakan dadah yang paling kuat menyebabkan ketagihan.
Adakah tiada harapan lagi? Tidak. Ramai yang telah berjaya berhenti dan anda pun boleh, jika anda mahu.
Jika anda mahu berhenti, disenaraikan beberapa cara untuk membantu anda :
. Tetapkan tarikh dan patuhinya. Para pakar melaporkan bahawa mereka yang menetapkan tarikh mempunyai kemungkinan yang tinggi untuk berjaya.
. Elakkan dari mendapat tekanan. Banyak petua yang boleh diamalkan untuk mengurangkan tekanan.
. Berhenti terus. Kalau anda ikut cara ini, anda mungkin akan mengalami sindrom tarikan untuk selama seminggu hingga 10 hari tetapi anda akan melepasi halangan.
. Buang kesemuanya. Pada hari yang ditetapkan, buang semua rokok, termasuk yang tersembunyi di mana-mana. Buang pemetik api, mancis dan tempat habuk rokok.
. Bersedia untuk melawan keinginan untuk merokok. Semasa anda melalui sindrom tarikan, anda mungkin mengalami gejala berikut: masalah perut, sukar memberi tumpuan, mengantuk, susah untuk tidur dan mudah marah.
. Anda boleh berhenti secara beransur-ansur. Sebaik saja nikotin telah dinyah keluar dari tubuh anda, gejala sindrom tarikan akan hilang sedikit demi sedikit. Ada kemungkinan ianya tidak hilang kesemuanya kerana satu tidak pernah cukup. Jika anda merokok sebatang anda ingin sedozen ataupun lebih.
Petua untuk membantu anda:
. Tukar kebiasaan anda.
. Elakkan tekanan. Elakkan bekerja hingga lewat hari
. Jauhkan diri dari perokok
. Berikan kata-kata semangat kepada diri anda setiap hari
. Buat janji dan memberi ganjaran kepada diri anda
. Menyimpan duit rokok
. Curi masa – lambat-lambatkan menyalakan rokok
. Minum air secukupnya
. Kurangkan minuman yang mengandungi kafein
. Bersarapan pagi
Walaupun berhenti terus merupakan cara terbaik, namun jika anda terpaksa berhenti secara beransur-ansur, yang penting adalah untuk BERHENTI.
Anda mungkin tidak kisah dengan kesihatan atau nyawa anda, tetapi pertimbangkan kesihatan dan nyawa orang yang anda sayangi. Adakah mereka akan memaafkan anda jika mereka mendapat kesan buruk dari asap rokok yang dihembus keluar oleh anda. Renung renungkanlah.
Petikan dari http://www.kesihatan.biz/.. lain-lain info kesihatan berguna boleh didapati di laman tersebut.. Sihat Sepanjang Hayat.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan