Skim Rukun Tetangga diperkenalkan pada tahun 1975 sebagai satu langkah membolehkan rakyat sendiri mengawal dan menjaga keselamatan kawasan kediaman mereka. Skim ini kemudiannya diperbaharui dengan menekankan konsep kejiranan dengan falsafah bahawa kesejahteraan kawasan sejiran akan menjamin kesejahteraan negara. Pada masa kini peranan Skim Rukun Tetangga diperluaskan lagi dengan pendekatan pembangunan komuniti bagi memastikan perpaduan dan kehormanian hubungan di dalam masyarakat akan terus berkekalan dan berterusan...
Terima kasih kerana melayari blog Kawasan Rukun Tetangga Taman Desa Orkid dan kami amat menghargainya. Pelbagai informasi berguna akan kami hebohkan dari masa kesemasa. Kami mengalu-alukan sebarang pandangan dan komen membina jika ada.... hubungi kami melalui email : tamandesaorkid@gmail.com
"... Konsep kejiranan memang cukup menarik dan mesti dikekalkan kerana melaluinya dapat mewujudkan rasa kasih, sayang menyayangi, bantu membantu, hingga timbul suatu kekuatan dalam kalangan penduduk untuk tolong menolong, ingat mengingati, tegur menegur, sehinggakan seseorang itu merasakan dirinya begitu lemah jika tanpa jiran... jiran yang baik adalah jiran yang berjaya memupuk semangat toleransi, percaya mempercayai dan perkongsian bijak antara mereka..." En. Mohd Ali, Pengerusi Rukun Tetangga Taman Desa Orkid
Keseluruhan Logo ini mengutarakan fungsi dan matlamat Rukun Tetangga ke arah pembentukan Bangsa Malaysia berlandaskan Rukun Negara.
1. Bulatan Besar Bulatan besar pada logo ini menggambarkan rakyat negara ini sentiasa bermuafakat dan bersatu padu.
2. Warna Warna-warna yang digunakan pada logo ini adalah seperti mana yang terdapat pada Jalur Gemilang iaitu :
Biru - bermuafakat dan bersatu padu
Merah - Keberanian dan keluhuran
Kuning - Kejayaan dan Keharmonian
Putih - Kesucian dan bertanggungjawab
3. Lima Bulatan Kecil Warna Merah Bulatan dibahagian atas Logo ini membawa pengertian lima prinsip Rukun Negara dan rakyat Malaysia yang berbilang kaum. Mesej yang dibawa menerusi simbol ini ialah seluruh rakyat mendukung dengan semangat kental serta luhur falsafah dan inspirasi Rukun Negara dengan mengamalkan dan menghayati.
4. Dua Bentuk Titisan Air Terbalik Di bawah bulatan pada Logo ini terdapat 2 titisan air terbalik digambarkan seperti orang membawa maksud bahawa rakyat negara ini sentiasa bersungguh-sungguh berganding bahu bagi membentuk satu Bangsa Malaysia bersatu padu.
5. Garisan Berwarna Merah
Terletak di kiri dan kanan Logo ini membawa pengertian bahawa seluruh rakyat malaysia sedia menghadapi apa jua ancaman dan serangan dalam usaha membentuk perpaduan dan keharmonian sejagat yang akhirnya membentuk satu Bangsa Malaysia yang bersatu padu.
6. Segi Tiga Berwarna Kuning Segit tiga berwarna kuning yang terdapat di bawah Logo ini membawa pengertian bahawa Rukun Negara merupakan panduan seluruh rakyat Malaysia dalam usaha membangunkan Malaysia dengan mengambil kira nilai-nilai murni yang diamalkan bersama.
7. Garisan Merah Di Atas Garisan Putih Barisan warga Rukun Tetangga yang gagah berani mempertahankan keamatan Negara daripada segala bentuk ancaman dengan rasa keikhlasan dan ketelusan yang tiada tolok bandingnya.
8. Keseluruhan Garisan Berwarna Biru Memberi maksud bahawa rakyat Malaysia menggunakan pelbagai cara yang difikirkan sesuai mengikut nilai-nilai murni yang diamalkan bersama bagi tujuan membentuk Bangsa Malaysia yang bersatu padu bagi menjamin pembangunan negara.